Piala Malaysia: Kedah Darul Aman Terkulai Di Gelanggang Sendiri, Dikejutkan Melaka United
Dunia
MELAKA UNITED FC
Advertisements

Perlawanan kedua Kumpulan C Piala Malaysia menemukan Kedah Darul Aman FC selaku tuan rumah melayan kunjungan Melaka United. Perlawanan berakhir dengan keputusan memihak kepada skuad Melaka United dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan untuk mencari gol awal. Kedah akhirnya berjaya mendapatkan gol seawal minit ke-7 apabila satu terpaan mudah dari Kpah Sherman hasil hantaran Tchetche Kipre menerjah jaring menewaskan Khairul Fahmi di gawang Melaka United.

Tersentak dengan gol itu, Melaka United menggandakan asakan melalui Sony Norde dan Adriano yang kerap kali memecah benteng Kedah.

Advertisements

Hasil serangan bertali arus, Melaka United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas Sony Norde yang berjaya melepasi kawalan ketat Rizal Ghazali, menerima hantaran dari Adriano. Sony terus melepaskan rembatan leret yang deras sekali gus menewaskan Ifwat Akmal.

Gol tersebut seperti menjadi satu ‘turning point’ buat Melaka apabila mereka berjaya mengawal tempo permainan dengan gerakan-gerakan menarik dan kawalan bola yang baik.

Pada minit ke-27, Kpah Sherman hampir menambah koleksi jaringan peribadi beliau namun rembatan leret beliau tepat ke dakapan Khairul Fahmi.

Advertisements

Melaka United berjaya menghukum kealpaan benteng Kedah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-38 hasil gerakan menarik dari Kumaahran dan Adriano yang akhirnya membolehkan Manuel Ott menjaringkan gol melalui rembatan deras pada minit ke-38 sekali gus menjadikan kedudukan Melaka United mendahului Kedah 2-1.

Kedah mula mengatur gerakan untuk mendapatkan gol penyamaan namun disiplin tinggi pemain Melaka United ketika bertahan berjaya menggagalkan setiap gerakan. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-1 memihak Melaka United.

Bersambung babak kedua, Kedah melakukan 2 pertukaran dengan membawa masuk Faizat Ghazli dan Fayadh Zulkifli untuk mencari gol penyamaan.

Advertisements

Pergerakan Melaka dilihat sangat teratur dengan hantaran-hantaran tepat. Hasilnya, pada minit ke-52, Manuel Ott menambah gol peribadi kedua beliau pada perlawanan ini melalui satu rembatan berkelas dunia dari luar kotak penalti sekaligus menjadikan kedudukan Melaka mendahului tuan rumah Kedah 3-1.

Pada minit ke-58, Kedah hampir merapatkan kedudukan apabila umpanan daripada Baddrol Bakhtiar berjaya ditanduk oleh Kipre namun tandukan pemain kelahiran Ivory Coast itu tepat ke dakapan penjaga gol.

Kedah terus melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol dan Melaka dilihat lebih cenderung untuk bertahan dan menanti masa sesuai untuk melakukan serangan balas.

Advertisements

Tekanan tinggi dilakukan oleh pemain Melaka ternyata menyukarkan pemain Kedah mengatur gerakan-gerakan ke dalam kotak penalti.

Pada minit ke-78, Kedah hampir merapatkan kedudukan namun rembatan deras Fayadh Zulkifli membias pemain Kedah lalu tersasar ke sisi gawang Melaka.

Fayadh sekali lagi melakukan percubaan pada minit ke-86 namun rembatannya berjaya dinafikan kecemerlangan Khairul Fahmi.

Serangan bertali arus terus dilancarkan pasukan Kedah namun pertahanan Melaka dilihat kebal dan berdisiplin ketika mempertahankan kubu mereka dari dibocori. Perlawanan ditamatkan dengan kedudukan kekal memihak Melaka United 3-1 menewaskan Kedah.

Dengan kemenangan ini, Melaka kini berada di tangga teratas Kumpulan C dengan 6 mata dari 2 perlawanan manakala buat Kedah, mereka kekal dengan 3 mata hasil kemenangan ke atas Kelantan United pada perlawanan pertama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram