Terengganu meneruskan rentak kemenangan apabila menumpaskan Penang dalam aksi Piala MFL pada Selasa.
Selepas menang besar ke atas Kelantan DN minggu lalu, kini Terengganu turun di laman sendiri untuk menentang Penang yang tidak tewas dalam 5 aksi terdahulu termasuk mengikat Sabah 2-2.
Penyerang utama, Aqil Idham menjadi taruhan Terengganu di jentera serangan manakala Penang menaruh harapan kepada Haziq Kutty Abba dan Izzat Zikri untuk mengemudi bahagian tengah.
Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Muslihuddin ‘Atiq meletakkan Terengganu di hadapan seawal minit ke-5 setelah menewaskan Izzul Azri di pintu gol.
Selang 6 minit kemudian, Muslihuddin ‘Atiq yang juga bekas pemain skuad B-19 negara membuktikan ketajaman dengan gol kedua untuk Terengganu selesa mendahului 2-0 di awal aksi.
Separuh masa pertama tamat, Terengganu 2-0 Penang.
Kembali dari rehat, dua pertukaran dilakukan oleh jurulatih Penang, Akmal Rizal di bahagian tengah serta pertahanan bagi menambah tenaga baharu dan memberi saingan buat lawan.
Walau bagaimanapun, momentum Terengganu sukar digugat apabila berjaya merobek gawang Penang buat kali ke-3 hasil gol Rizuan Muda di minit ke-74 untuk menceriakan kem tuan rumah.
Muslihuddin ‘Atiq melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-84 permainan menerusi percubaan yang gagal diselamatkan oleh Izzul Azri untuk skuad bimbingan Harris Safwan ini terus ceria.
3 minit sebelum aksi tamat, Penang berjaya menjaringkan gol saguhati hasil ledakan pemain gantian, Haziq Idris namun gol itu tidak berupaya menafikan kemenangan Terengganu pada aksi itu.
Perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berakhir dengan kemenangan 4-1 buat pasukan tuan rumah.
Selepas ini, Terengganu dijadualkan menentang Sabah di laman sendiri pada 8 April tatkala Penang akan menerima kunjungan Sri Pahang sehari kemudian.