Pendahulu Liga Juara Piala MFL, Terengganu FC II mengulangi pencapaian skuad senior mereka dengan mengalahkan Selangor FC 2-0 di Stadium USIM, Nilai hari ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi berbeza. Terengganu II berharap dapat melebarkan kelebihan dengan mengutip kemenangan ketiga.
Manakala ubi muda Selangor bukan saja mahu merampas takhta pendahulu Liga Juara Piala MFL daripada ubi muda Peteh. Malah, mereka mahu membalas dendam kekalahan skuad senior di tangan Terengganu dalam suku akhir pertama Piala Malaysia.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang jaringan biarpun diperkuatkan dengan penjaring terbanyak masing-masing, Danial Asri (Selangor) dan Muslihuddin Atiq (Terengganu II). Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Merah Kuning berusaha mencari gol pendahuluan. Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-67 apabila Danial menyangka telah meletakkan mereka di hadapan.
Malangnya, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas beliau dikesan berada pada kedudukan ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol Terengganu II, Nazrul Izamil Zulkifli.
Tatkala Selangor ghairah menyerang, Aqil Idham Bahari mengejutkan benteng tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-78. Dua minit selepas itu, giliran Jordan Mintah pula membolosi gawang Merah Kuning.
Selangor meraih gol saguhati menerusi pemain gantian, S. Deevesshraja pada minit akhir perlawanan tetapi sudah lewat untuk menghalang kemenangan skuad Penyu.
Keputusan ini membolehkan Terengganu II terus mendahului dengan tujuh mata. Manakala Selangor pula kekal di tangga ketiga dengan tiga mata.