Piala Negara-Negara: Malaysia Bangkit Ikat Pakistan
UltraSukan
Hokita

Malaysia membuka kempen Kumpulan B Piala Negara-Negara 2025 dengan satu mata apabila mengikat Pakistan 3-3 di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Anak buah Sarjit Singh berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan ke atas musuh tradisi mereka itu sejak tahun 2023. Kali terakhir Malaysia mengatasi Pakistan ialah Trofi Juara-Juara Asia 2023.

Azrai Azad Abu Kamal, Syafiq Sumantri dan Fitri Saari menjadi sandaran gol Sarjit. Pakar pukulan penalti Pakistan, Sufyan Khan menjadi taruhan jurulatih, Tahir Zaman.

Kelekaan pertahanan The Speedy Tigers pantas dihukum pihak lawan seawal minit keenam menerusi Ahmed Nadeem.

Gawang skuad negara yang dikawal Hafizuddin Othman bocor lagi tiga minit selepas itu. Kali ini, giliran Abdul Rehman pula mencetak nama sebagai penjaring.

Malaysia berusaha mencari jaringan menerusi Azrai, Syafiq, Fitri dan Shello Silverius tetapi tidak berhasil.

Meskipun pada satu ketika beraksi dengan sembilan minit, anak buah Tahir mempertahankan kelebihan gol mereka sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Malaysia terus memberi tekanan kepada gawang Pakistan yang dikawal Muneeb Ur-Rehman.

The Speedy Tigers hampir merapatkan jurang menerusi Azrai pada minit ke-43. Malangnya, pukulan deras beliau berjaya dinafikan Muneeb.

Menjelang suku terakhir perlawanan, Malaysia semakin terdesak mendapatkan gol. Akhimullah Anuar Esook hampir menembusi gawang Pakistan pada minit ke-47 tetapi dinafikan Muneeb.

Fitri menceriakan penyokong The Speedy Tigers apabila menyumbat gol pada minit ke-49. Meskipun dibantah pemain-pemain Pakistan, gol tersebut dikira sah oleh pengadil.

Tiga minit kemudian, kem Malaysia ceria apabila berjaya mengikat kedudukan 2-2. Syed Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan penalti yang menewaskan Muneeb.

Keceriaan kem negara hanya bertahan selama seminit. Abdul Waheed Asyraf Rana mudah menolak bola ke dalam gawang Malaysia.

Gol tersebut tidak mematahkan semangat anak buah Sarjit. Malaysia sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi pukulan penalti Syed Syafiq.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu gol kemenangan tetapi keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia dan Pakistan menduduki tempat kedua dan ketiga dengan satu mata di belakang New Zealand. New Zealand menerajui Kumpulan B selepas menewaskan Jepun 2-1.

Selepas ini, Malaysia akan menentang New Zealand pada 16 Jun. Pakistan pula akan menentang Jepun pada hari yang sama.