Pengendali Selangor FC, Firdaus Aziz memaklumkan barisan anak buahnya akan berusaha memberi tekanan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) III dalam aksi final kedua Piala Presiden 2024.
JDT III meraih kelebihan awal untuk aksi final kedua kejohanan itu dengan menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi pertama di Stadium MBPJ pada 6 November lalu.
Danish Syamer Tajuddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Abdul Raziq Abdul Rahman mencetak nama sebagai penjaring. Manakala Harry Danish Mohd Haizon pula memastikan Selangor membawa satu gol untuk aksi kedua di Pasir Gudang.
Firdaus mengakui kekurangan disiplin dari segi teknikal mengakibatkan anak buahnya ketinggalan dua gol. Selepas isu itu berjaya diatasi selepas rehat, Selangor berjaya bangkit untuk merapatkan jurang agregat.
Firdaus berharap semangat berkenaan dapat dikekalkan barisan anak buahnya apabila berentap dengan anak buah Gonzalo Sanz Zaballos buat kali kedua nanti.
“Semasa sidang media pascaperlawanan pertama, saya ada cakap kita sebenarnya kurang berdisiplin dari segi teknikal.
“Tetapi pada separuh masa kedua, kita bermain dengan agak baik dan dapat menjaringkan satu gol. Apa yang kami perlu bawa dalam perlawanan esok ialah bermula pada minit pertama macam mana kami bermula pada separuh masa kedua aksi pertama di Stadium MBPJ.
“Jadi, Insya Allah dengan semangat yang kami bawa dalam separuh masa kedua itu, kita akan cuba bertanding dari minit pertama,” katanya dalam sidang media praperlawanan final kedua Piala Presiden 2024.
Selangor dan JDT III bakal berentap di Stadium Pasir Gudang pada 13 November ini. Merah Kuning berharap dapat mengakhiri kemarau juara Piala Presiden sejak tahun 2017.
Manakala skuad muda Harimau Selatan pula mahu merangkul gelaran juara buat kali ketiga berturut-turut selepas melakukannya pada 2022 dan 2023.