Maybank beraksi cemerlang untuk membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik kedua selepas membelasah TNB Thunderbolts dalam perlawanan suku akhir Piala TNB 2024.
Maybank yang tumpas 3-4 di aksi terakhir liga kepada THT berjaya mendahului menerusi Ashran Hamsani yang bijak memanfaatkan kesilapan pemain Thunderbolts yang gagal mengeluarkan bola di kawasan D seawal minit kedua.
Enam minit kemudian, Maybank berjaya menggandakan jaringan melalui pukulan sudut penalti tonggak berpengalaman, Razie Rahim sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 buat tuan rumah.
Shafiq Hassan terus melebarkan kelebihan buat Maybank selepas mudah menolak bola ke dalam gawang gol TNB Thunderbolts pada minit ke-28 sebelum Najmi Farizal menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol keempat pasukan mereka.
Separuh masa pertama, Maybank 4-0 TNB Thunderbolts.
Separuh masa kedua menyaksikan Maybank meneruskan dominasi mereka dengan Najmi Farizal Jazlan meledak lagi menerusi pukulan sudut penalti sebelum beliau melengkapkan hatrick setelah menyempurnakan penalty stroke.
TNB Thunderbolts berjaya menyumbat gol pertama mereka menerusi ayam tambatan, Amirul Haniff Mamat yang mudah menolak bola tanpa dikawal oleh pertahanan Maybank pada minit ke-46.
Ashran Hamsani menutup malam gemilang buat Maybank dengan jaringan ketujuh buat pasukan beliau sekaligus mengakhiri perlawanan dengan keputusan Maybank 7-1 TNB Thunderbolts.
Aksi timbal balik kedua akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 3 Mac.