Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa menelan kepahitan setelah gagal mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) meskipun berjaya menewaskan Maybank dalam aksi terakhir liga.
Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil 2 itu menyaksikan tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan di suku pertama.
Bersambung suku kedua, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Muhammad Addy Jazmi Jamlus pada minit ke-21 sebelum disamakan kedudukan 1-1 oleh pakar pukulan sudut penalti Maybank, Najmi Farizal Jazlan.
Seminit kemudian, penyerang sensasi THT, Faizal Saari meletakkan pasukannya kembali di depan menerusi pukulan sudut penalti yang berjaya menewaskan Zaimi Mat Deris di pintu gol Maybank.
Separuh masa pertama tamat, Maybank 1-2 THT.
Separuh masa kedua, THT semakin sukar digugat apabila dua gol Fitri Saari pada minit ke-38 dan 51 meletakkan naib juara Piala Sumbangsih MHL 2024 itu selesa mendahului 4-1.
Maybank yang dibimbing Azrul Effendy tidak patah semangat dan berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan padang Faridzul Afiq pada minit ke 55.
Meor Muhamad Azuan kembali menghidupkan peluang Maybank dengan gol ketiga dua minit sebelum tamat aksi, namun semuanya sudah terlambat apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 4-3 memihak THT.
Meskipun mencatat kemenangan namun, THT terpaksa akur setelah pencabar utama, TNB berjaya menjulang kejuaraan setelah membelasah JM Antbees 22-1 dalam satu lagi aksi liga yang berlangsung pada waktu yang sama.
Kedudukan akhir menyaksikan TNB muncul di tempat pertama liga dengan 26 mata, manakala THT turut memungut 26 mata daripada 10 perlawanan. Akan tetapi perbezaan gol memisahkan kedua-dua pasukan di tempat pertama dan kedua.
Maybank yang tumpas sekadar berpuas hati di tempat ketiga liga dengan 23 mata manakala Nurinsafi Sporting melengkapkan carta empat pasukan terbaik MHL 2024 dengan kutipan 22 mata.