Bintang import baharu Selangor FC, Picha Autra berharap dapat segera memahami budaya bola sepak Malaysia.
Bekas kapten Muangthong United itu melihat itu sebagai kunci untuk tampil cemerlang apabila saingan Liga Super bermula pada Ogos ini.
“Saya ingin cepat sesuaikan diri bersama pasukan dan memahami budaya di sini, serta membina hubungan yang baik bersama barisan jurulatih, pegawai dan rakan sepasukan.
“Saya berharap dengan pengalaman dalam menghadapi tekanan serta membimbing rakan sepasukan membantu saya untuk bersedia menghadapi cabaran di sini dengan baik,” katanya.
Picha menjadi rekrut pertama Selangor untuk musim 2025/26. Beliau merekodkan 159 penampilan, empat gol dan lapan bantuan gol bersama The Kirins sebelum meninggalkan kelab itu pada akhir musim 2024/25.
Picha bukan asing dengan Merah Kuning kerana pernah menentang pasukan itu dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Beliau dijangka mengisi kuota pemain import ASEAN untuk musim 2025/26. Sebelum ini, kuota tersebut diisi orang besi Singapura, Safuwan Baharudin.
Selangor dijangka lebih sibuk memuktamadkan beberapa perpindahan pemain import. Antara nama yang dikaitkan dengan Merah Kuning ialah Juanpi dan Chrigor Moraes.