Selangor sah mendapatkan khidmat arkitek tengah dari Thailand, Picha Autra.
Pengumuman pemain berusia 29 tahun ini dibuat menerusi satu kenyataan rasmi pada Ahad yang menyaksikan Picha Autra tiba bagi memperkuat jentera tengah skuad Selangor musim hadapan.
“Picha Autra hari ini telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Merah Kuning untuk hadapi saingan Liga Malaysia serta perlawanan di peringkat antarabangsa,” umum Selangor FC.
Menurut Picha Autra, pasukan Selangor adalah satu cabaran yang berharga buat dirinya untuk mendapatkan pengalaman baharu sekaligus keluar dari zon selesa.
“Saya memilih untuk menyertai Selangor FC kerana ini merupakan satu cabaran peribadi dan peluang yang sangat berharga buat saya.”
“Selain itu, ia memberi saya peluang meraih pengalaman antarabangsa dan keluar daripada zon selesa saya.”
“Malah, bagi saya, kelab ini sangat profesional dan bertaraf tinggi, dan saya gembira jadi sebahagian daripada keluarga Red Giants.”
Untuk rekod, Picha Autra memulakan karier dalam Liga Thai pada usia 18 tahun dengan melakukan penampilan senior bersama Nakhon Nayok, beraksi dalam 19 perlawanan.
Nama beliau mula menyerlah ketika bersama Samut Prakan City F.C. selepas membuat 114 penampilan, menjaringkan 19 gol serta mencatat 13 bantuan gol dari musim 2015 hingga 2020.
Statistik cemerlang beliau bersama Samut Prakan City F.C. melayakkan beliau menerima panggilan pertama ke skuad senior Thailand pada tahun 2019 sehingga ke hari ini.