Bintang Thailand Hampiri Perpindahan Ke Selangor
MakanBola
Muangthong United

Bintang Thailand, Picha Autra dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke naib juara Liga Super musim 2024/25, Selangor FC.

Portal Think Curve melaporkan pemain tengah berusia 29 tahun memilih meninggalkan The Kirins pada akhir musim 2024/25.

Ini membuka jalan kepada Selangor yang dikhabarkan akan memuktamadkan perpindahan bekas kapten Muangthong itu.

Picha bukan asing dengan Merah Kuning. Ini kerana beliau mengetuai cabaran The Kirins menentang Selangor dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim lalu.

Picha membantu Muangthong mengikat Selangor 1-1 dalam aksi pertama Kumpulan H pada 19 September 2024. Ini disusuli kejayaan menewaskan Merah Kuning 2-1 di Stadium MBPJ pada 28 November lalu.

Picha dijangka menyertai seorang lagi bintang liga Thailand, Chrigor Moraes. Penyerang Buriram United itu dilaporkan menjadi pilihan Selangor menggantikan Ronnie Fernandez.

Picha berpotensi mengisi kuota pemain import ASEAN. Kuota tersebut sebelum ini diisi oleh kapten Selangor musim lalu, Safuwan Baharudin.