Peminat Singapura Bersuara Atas Layanan Terhadap Safuwan Baharudin
MakanBola
FA Singapore

Peminat bola sepak Singapura bersuara dan memberikan respon terhadap layanan yang diterima pemain kebangsaan yang juga pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin.

Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan jodoh Safuwan dan Selangor akan berakhir dan Safuwan dalam satu temubual eksklusif menegaskan bahawa beliau masih mempunyai baki kontrak namun namanya tiada dalam perancangan jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi.

“Satu hari saya boleh bermain di sana, satu hari saya boleh bermain di mana mana. Saya masih ada satu tahun lagi (kontrak) dengan Selangor tapi perkara yang sedih ialah jurulatih tak mahu masukkan saya dalam perancangan.

“Jadi saya perlu pergi. Pada akhirnya, pilihan adalah terbuka. Mungkin orang tidak tahu, ini eksklusif. Saya kena beritahu agar orang tahu saya sedang mencari peluang,” jelas Safuwan kepada Raushansays.

Melihat kepada apa yang dilalui Safuwan bersama Selangor, peminat bola sepak Singapura seakan-akan melepaskan geram dan kesal dengan apa yang terjadi.

Dalam satu hantaran oleh Sg Football News, laman tersebut berharap Safuwan berjaya temui kelab yang mana beliau lebih dihargai.

“Sungguh menyedihkan dari Selangor dan ketua jurulatih mereka. Sungguh memalukan bagaimana mereka melayan kapten kelab mereka selepas bertahun-tahun berkhidmat. Sangat berharap Safuwan menemui kelab di mana dia amat dihargai,” coret Sg Football News di laman X.

Walaupun bermain di posisi pertahanan tengah, Safuwan dikenali sebagai pemain yang mempunyai kelebihan menjaringkan gol, terutama melalui situasi bola mati. Sumbangannya di atas padang tidak terhad kepada aspek pertahanan sahaja, malah beliau turut memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mencipta kemenangan.

Dengan rekod disiplin yang tinggi, etika kerja yang profesional serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Safuwan kekal sebagai aset berharga yang sukar dicari ganti, meskipun masa depannya bersama Selangor kini menjadi tanda tanya.