Kemenangan ke atas Melaka United baru-baru ini telah melonjakkan nama pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) dengan hanya menggunakan kudrat pemain tempatan.
Umum mengetahui bahawa pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang ini sememangnya tidak menagih khidmat pemain import setelah pemilik kelab, Dato’ Seri Vijay Eswaran mahu memberikan ruang buat anak tempatan beraksi dengan lebih kerap.
Menurut satu kenyataan oleh jurulatih pasukan, P. Maniam, beliau tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dibuai mimpi sebaliknya terus mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan berikutnya.
‘Melaka United merupakan pasukan yang kuat dan bukan senang nak menang dengan mereka tetapi pemain PJ City telah menunjukkan semangat yang tinggi, bermain sebagai satu pasukan dan bertungkus lumus untuk mencatatkan kemenangan ini,’ -Jelasnya kepada Bernama.
Dalam perlawanan tersebut, PJ City memperoleh gol tunggal menerusi bekas penyerang Harimau Muda, S.Kumaahran menerusi satu jaringan cantik pada minit ke-42.
Sungguhpun begitu, jurulatih berusia 53 tahun ini percaya sungguhpun pemain mereka mempunyai potensi dan mampu untuk menyarung jersi Harimau Malaya, beliau percaya ia masih terlalu awal untuk dinilai.
Bahkan, P. Maniam mahu para pemainnya kekal memberikan aksi yang terbaik kerana menjangkakan saingan yang sengit daripada pasukan-pasukan lain dalam Liga Super.
Ini juga bertitik tolak daripada kehadiran jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam semalam untuk melihat aksi pemain tempatan.
Pan-gon turut disertai oleh penolong jurulatih, E. Elavarasan dan juga Pau Marti Vicente untuk membuat penilaian para pemain yang beraksi.
Ini juga bakal memastikan bahawa beliau dapat memilih barisan pemain terbaik bagi perlawanan persahabatan Mac ini sebelum menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 Jun nanti.