Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mencadangkan penolong ketua jurulatih Liga Super wajib memiliki Lesen Pro A (Pro-Diploma AFC).
Perkara ini dinyatakan sendiri Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee dalam sidang media selepas perasmian Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa di Petaling Jaya.
Kim Swee memaklumkan perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Cadangan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Exco FAM yang seterusnya.
“Perkara ini sudah di tahap terakhir. Mesyuarat Exco (FAM) akan menentukan dan jika itu berlaku, ini bermakna baik untuk jurulatih yang mempunyai lesen pro (lesen Pro A).
“Tetapi pada masa sama, tidak semestinya mereka (kelab) akan ambil jurulatih tempatan (yang ada lesen Pro A). Jadi kita cuba melakukan yang terbaik, tetapi terpulang kepada kelab masing-masing,” katanya seperti yang dilaporkan TVS.
Sebelum ini, hanya ketua jurulatih pasukan Liga Super yang diwajibkan memiliki lesen Pro A. Peraturan penggunaan lesen tersebut berkuatkuasa pada tahun 2020.
Lesen tersebut membenarkan mana-mana jurulatih yang berkelayakan untuk membimbing sesebuah pasukan liga berkenaan. Sekiranya jurulatih tidak memiliki lesen yang dinyatakan, sesebuah pasukan Liga Super perlu mencari alternatif untuk mengisi posisi berkenaan.
Isu ini terjadi pada November 2020 di mana FAM menolak rayuan tiga pasukan Liga Super untuk menggunakan khidmat jurulatih yang tidak memiliki lesen Pro A.