Posisi Penjaga Gol Utama Malaysia ‘Tergugat’
MakanBola
Malaysia NT

Posisi penjaga gol utama Malaysia dijangka menerima persaingan sengit.

Harimau Malaya baru sahaja menamatkan perjuangan pada kempen Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan menduduki tangga kedua Kumpulan F.

Pasukan kebangsaan mengumpul 9 mata – menduduki tangga kedua sekali gus terlepas peluang untuk melangkah ke pentas Piala Asia 2027 Arab Saudi buat kali kedua berturut-turut.

Malaysia bagaimanapun mendapat perkembangan positif hasil persaingan sengit dalam kancah bola sepak tempatan di bawah kendalian Malaysia Football League (MFL) bagi musim 2025-26.

Beberapa posisi utama dalam skuad Harimau Malaya kini semakin sengit susulan prestasi cemerlang beberapa pemain tempatan ketika ini.

Skuad kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski kini memiliki sekurang-kurangnya lima penjaga gol dalam prestasi terbaik menjelang sepak mula ASEAN Hyundai Cup 2026, Julai ini.

Posisi penjaga gawang negara sering dikemudi oleh tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pemain berusia 30 tahun ini merupakan penjaga gol yang paling sikit dibolosi denga purata 0.2 jaringan bagi setiap perlawanan di Liga Super 2025-26.

Kedudukan ini disusuli oleh penjaga gol Kuching City FC, Haziq Nadzli dengan purata 0.5 gol dibolosi dengan pasukannya menjadi kelab kedua paling sikit dibolosi musim ini. 

Prestasi cemerlang Haziq telah membantu The Cats untuk melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2025-26 selepas menyingkirkan Selangor FC pada aksi separuh akhir.

Malaysia turut memiliki beberapa pemain lain yang boleh mencabar prestasi Syihan dan Haziq seperti Kalamullah Al-Hafiz (Selangor), Suhaimi Husin (Terengganu) dan  Azri Ghani (Negeri Sembilan).