Potensi 3 Bintang Luar Negara Perkuat Malaysia Hadapi Vietnam
MakanBola
Malaysia NT

Potensi tiga pemain luar negara untuk terus mendapat kepercayaan menjelang pertemuan Malaysia menentang Vietnam.

Pasukan bimbingan Peter Cklamovski kini menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata – 3 mata di atas Vietnam (tangga kedua).

Berbaki satu lagi aksi kumpulan menyaksikan Harimau Malaya bakal ke Stadium Thien Thruong berdepan pasukan ke-108 dunia, Vietnam untuk mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan.

Skuad kebangsaan bagaimanapun bakal terlepas khidmat tujuh pemain setelah keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 5 Mac 2026.

Cklamovski bagaimanapun masih memiliki barisan pemain mantap yang berpotensi untuk mengisi slot yang bakal dipanggil ke kem latihan pusat yang dijangka bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Antara pemain yang berpotensi untuk mendapat tempat ialah tonggak Raith Rovers, Richars Chin.

Pemain berusia 24 tahun itu kembali bebas daripada kecederaan dan diturunkan pada aksi terakhir pasukan selaku pemain gantian di Scottish Championship 25/26.  

Beliau telah dipanggil bersama Harimau Malaya pada aksi persahabatan, September lalu dan diturunkan pada aksi menentang Palestin.

Tonggak kedua yang boleh dipanggil bersama pasukan kebangsaan ialah perancang tengah berbakat Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Kamal.

Pemain berusia 28 tahun itu telah berada dalam Senarai Simpanan Harimau Malaya pada tiga edisi panggilan sebelum ini, sekali gus membuka peluang buatnya mendapat tempat kali ini.

Pemain ketiga yang berpotensi dipanggil bersama Malaysia adalah pemain yang bereputasi tinggi di Ireland iaitu Sam Bone.

Pertahanan kental berusia 27 tahun itu merupakan tonggak kelahiran Kuching, Sarawak itu beraksi pada kancah bola sepak tertinggi di Eropah termasuklah Kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2025-26.

Walau bagaimanapun, masih belum ada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status sebenar Sam Bone sama ada layak mewakili Harimau Malaya atau tidak.

Malaysia dijadual bertemu Vietnam pada 31 Mac 2026 jam 8.00 malam.