Vietnam menerima tamparan hebat dalam misi berdepan Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Pasukan kendalian Kim Sang-sik memiliki kelebihan berdepan Harimau Malaya selepas bakal beraksi di laman sendiri di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.
Skuad Bintang Pahlawan Emas bagaimanapun memiliki tugas sukar selepas Harimau Malaya berjaya merakamkan kemenangan 4-0 pada pertemuan terakhir di Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Persiapan untuk membawa skuad terbaik oleh Vietnam terjejas dengan tonggak utama bahagian pertahanan, Bui Tien Dung dilaporkan mengalami kecederaan.
Situasi ini menyaksikan tonggak berusia 31 tahun itu bakal terlepas panggilan ke kem latihan pusat Vietnam sekali gus tidak akan turun bertemu Malaysia.
“Saya mengalami kecederaan lutut. Kecederaan ini telah menghantui saya sejak sekian lama.
“Saya bersyukur kerana hanya perlu berehat dua bulan dan tidak perlu melakukan pembedahan,” katanya seperti yang dipetik Thetao247.com.
Vietnam bagaimanapun dijangka bakal mempertaruhkan kudrat seorang lagi pemain berpengalaman, Doan Van Hau yang juga baru pulih daripada kecederaan jangka panjang.
Sebagai rekod, Tien Dung beraksi dalam kesebelasan utama selama 49 minit sebelum dikeluarkan ketika Vietnam tewas kepada Harimau Malaya tempoh hari.
Aksi antara Vietnam mementang Malaysia dijadual pada 31 Mac 2026 jam 8.00 malam.