Pra-Musim: Borussia Dortmund Dimalukan Cerezo Osaka
MakanBola
Borussia Dortmund

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools membantu Cerezo Osaka menewaskan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan pramusim di Stadium Yanmar Nagai.

Perlawanan ini bukan saja medan pemanas badan buat kedua-dua pasukan sebelum mengharungi musim 2026/27. Malah, perlawanan ini juga memberi ruang kepada kapten Cerezo, Shinji Kagawa kembali menentang pasukan lamanya.

Selain dikenali sebagai bekas bintang Manchester United, Kagawa pernah beraksi untuk Dortmund sebanyak dua kali. Beliau mewakili pasukan itu dari 2010 hingga 2012 sebelum kembali beraksi buat kali kedua dari 2014 hingga 2019.

Cools membentuk benteng Cerezo bersama Shinnosuke Hatanaka dan Rikito Inoue. Kapten Der BVB, Serhou Guirassy mengetuai jentera serangan pasukan itu.

Sebelum perlawanan, penyokong dan barisan pemain kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit. Langkah itu dibuat susulan bencana gempa bumi yang melanda Kumamoto baru-baru ini.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati sambil mencari gol pendahuluan.

Kem Cerezo yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Pablo Machin ceria apabila meraih gol pendahuluan pada minit ketujuh. Meskipun cuba dicabar pemain Dortmund, tandukan Solomon Sakuragawa menewaskan penjaga gol lawan, Alexander Meyer.

Rentak Der BVB makin terjejas apabila pasukan itu terpaksa membuat pertukaran pada minit ke-35. Jan-Luca Riedl masuk sebagai pemain gantian menggantikan Filippo Mane yang tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.

Dortmund terus berusaha mencari gol penyamaan. Walau bagaimanapun, benteng Cerezo memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Machin memasukkan Koto Abe menggantikan penjaga gol, Kosuke Nakamura.

Dortmund yang dibimbing Niko Kovac kemudiannya membuat lapan pertukaran pada minit ke-60 untuk mengubah momentum kembali memihak kepada kelab Jerman itu.

Cools beraksi selama 65 minit dalam perlawanan itu. Machin kemudiannya pemain pertahanan muda, Travis Takahashi sebagai pengganti bekas pemain Buriram United itu.

Der BVB terus memberi tekanan ke atas Cerezo tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Takumi Nakamura dipilih pemain terbaik oleh Sofascore selepas mendapat markah 7.4.

Selepas ini, Dortmund akan menjelajah ke ibu negara Jepun, Tokyo. Mereka akan dijadual bertemu satu lagi kelab J-League 1, FC Tokyo pada 1 Ogos ini.