Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membuatkan kelab LaLiga, Elche hampa dalam aksi pra-musim di Sepanyol pada awal pagi Sabtu.
Keputusan seri tanpa jaringan dilakar oleh JDT dalam aksi ke-4 pra-musim di Alicante, Sepanyol dengan kali ini giliran kelab utama LaLiga, Elche FC pula menjadi ‘mangsa’ apabila gagal menemui cara untuk menembusi pintu gol.
Barisan terbaik menjadi pilihan ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz pada aksi kali ini dengan nama-nama seperti Arif Aiman, Marcos Guilherme, Antonio Glauder dan Andoni Zubiaurre tersenarai di dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.
Percaturan itu tampak membuahkan hasil apabila tahap disiplin yang tinggi dipamerkan barisan pemain JDT dalam usaha untuk menyekat asakan demi asakan yang dilancarkan oleh pasukan Elche di sepanjang 45 minit pertama permainan.
Kembali dari rehat, Elche sempat menjaringkan gol pada permulaan aksi, namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas penjaga garisan mendakwa pemain kelab LaLiga itu berada dalam keadaan ofsaid semasa gol terhasil.
Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan membabitkan Elche dan JDT di Alicante, Sepanyol sekali gus menutup aksi keempat pra-musim dengan satu lagi keputusan seri selepas terikat 2-2 menentang kelab utama Scotland, Rangers minggu lalu.
Lawan seterusnya menanti JDT adalah sebuah lagi kelab dari Sepanyol, UD Castellonense pada awal pagi Ahad, 26 Julai 2026 di venue yang sama iaitu Alicante.