Pra-Musim: JDT Jadikan Cartagena ‘Mangsa’ Terakhir
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup kempen pra-musim di Sepanyol dengan kemenangan bertenaga ke atas FC Cartagena pada awal pagi Sabtu.

Kemenangan 2-0 JDT ke atas Cartagena mengakhiri kempen pra-musim di Sepanyol dengan penuh cemerlang, selaku persiapan rapi bagi menghadapi saingan aksi liga domestik dan antarabangsa yang dijadualkan akan bermula penghujung Ogos ini.

Bintang-bintang ternama pasukan mendapat kepercayaan pengendali, Xisco Munoz untuk turun dalam kesebelasan utama JDT antaranya Oscar Arribas, Arif Aiman, Nacho Mendez selain Syihan Hazmi yang terpilih mengemudi gawang pasukan.

Tiada jaringan yang tercipta pada babak yang pertama memaksa JDT turun ke separuh masa kedua dengan lebih agresif, dan hasilnya jaringan pertama berjaya disumbangkan oleh pemain sayap lincah, Oscar Arribas pada minit ke-48.

Seakan tersentak, pasukan lawan cuba untuk mengasak kubu JDT namun gol kedua bagaimanapun berjaya dihasilkan oleh Marcos Guilherme pada minit ke-60, sekali gus menambah tekanan tuan rumah di hadapan peminat sendiri.

Perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 memihak JDT sekaligus menutup kem pra-musim di Sepanyol dengan penuh bergaya selepas menghadapi 8 aksi tanpa henti dalam tempoh 15 hari, menentang kelab terbaik dari Asia dan Eropah.

Dari 8 aksi yang ditempuh di Sepanyol, JDT merekodkan dua kemenangan, 5 kali seri dan satu kekalahan dengan beberapa keputusan hebata dicatatkan seperti mengikat kelab liga utama Scotland, Rangers 2-2 dan wakil LaLiga, Elche CF.

JDT akan kembali pulang ke tanah air dengan satu lagi perlawanan bakal menjadi tumpuan pada 9 Ogos hadapan apabila anak didik Xisco Munoz dijadualkan turun berdepan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim.