Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur mencatatkan satu lagi keputusan seri dalam aksi pra-musim di Sepanyol selepas diikat Asociacion de Futbolistas Espanoles pada awal pagi Rabu.
Keputusan 1–1 ini merupakan keputusan seri ke-3 berturut-turut dilakar oleh JDT dalam kem pra-musim skuad Harimau Selatan di Sepanyol sejak mereka tiba minggu lalu selepas diikat Elche 0-0 dan UD Castellonense 1-1 sebelum ini.
Barisan kesebelasan utama JDT ditunjangi pemain-pemain ternama seperti Syihan Hazmi, Oscar Arribas dan Kevin Medina selain gandingan Marcos Guilherme serta Shahab Zahedi memimpin jentera serangan juara Liga Super ini
Oscar Arribas memberikan kelebihan awal buat JDT dengan jaringan pembukaan pada minit ke-23 permainan sebelum Kevin Sanchez muncul wira pasukan dari Sepanyol itu dengan gol penyamaan pada separuh masa yang kedua.
Aksi berakhir dengan keputusan seri 1–1, menyaksikan JDT kini memiliki dua lagi baki perlawanan di Sepanyol, bertemu Qatar SC pada 30 Julai dan Cartagena pada 31 Julai ini sebelum kembali pulang ke tanah air.