Juara bertahan Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod bersih di Sepanyol apabila menundukkan Club Costa City pagi ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik Camilo Cano menyaksikan skuad Harimau Selatan melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan.
JDT mengintai kemenangan ketiga berdepan pasukan Sepanyol ini menerusi beberapa siri gerakan menarik pada 15 minit pertama permainan.
Peluang yang hadir bagaimanapun tidak disia-siakan oleh anak didik Hector Bidoglio apabila pemain sayap sensasi, Ramadan Saifullah untuk menolak masuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-10.
Perancang tengah, Nazmi Faiz menggandakan kedudukan 4 minit berselang sebelum aksi babak pertama tamat dengan dua jaringan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0.
Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan untuk meletakkan kedudukan lebih selesa memasuki baki 45 minit permainan.
Ramadhan sekali lagi membuktikan kehandalannya apabila meledak dua lagi jaringan untuk melengkapkan hatrik pada perlawanan tersebut.
Go-gol lain dijaringkan oleh Gabriel Nistelrooy pada minit ke-76 dan 84 sementara G. Pavithran melengkapkan kemenangan bergaya JDT.
Tambahan masa 7 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan ini menyaksikan JDT berjaya mengekalkan rekod kemenangan sejak tiba di Sepanyol pada 14 April 2024 yang lalu selepas menewaskan Real Murcia 3-0 dan juga La Nucia dengan jaringan 3-1.