Advertisement
Pra-Musim: Kad Merah Buat Penang Hampa Berdepan Kedah
Persahabatan
MakanBola
Penang FC

Layangan kad merah membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merekodkan kemenangan ke atas Penang FC dalam aksi pra-musim terbaru 2024/25.

Selepas tewas tipis 1-0 kepada Perak FC di Stadium Perak beberapa hari lalu, anak buah Nafuzi Zain mahu bangkit di gelanggang keramat mereka, Stadium Darul Aman.

Sementara Penang pula mahu mengulangi kejayaan menewaskan Sang Kenari 3-0 yang dilakar dalam kejohanan pra-musim Agarbomb Performance Cup 2024.

Babak pertama menyaksikan Harimau Kumbang tampil garang dan berusaha mencari kelebihan gol awal.

Gol yang dicari anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu terhasil pada minit ke-14 menerusi pemain pinjaman Selangor FC, Richmond Ankrah.

Ankrah menanduk masuk hantaran sepakan sudut yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Tersentak, Kedah bangkit memburu gol penyamaan. Hasilnya, pemain tengah Bahrain, Habib Haroon meledakkan rembatan ke penjuru atas gawang Penang pada minit ke-27.

Penang kemudiannya ditimpa malang apabila Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-32. Ini selepas pembantu pengadil video (VAR) mengesan tindakannya menghalang pemain sayap Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev daripada menjaringkan gol.

Selepas memeriksa insiden tersebut di monitor, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Adib. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kedah dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil. Ini selepas VAR mengesan kapten Penang, Rafael Vitor menarik baju Fadzrul Danel dalam kotak penalti.

Penalti tersebut mudah disempurnakan penyerang Serbia, Milos Gordic pada minit ke-51 yang menewaskan penjaga gol gantian, Sikh Izhan Nazrel.

Gawang penjaga gol berusia 22 tahun itu bolos lagi apabila Gordic memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Harimau Kumbang untuk meledakkan gol ketiga Kedah pada minit ke-67.

Penang kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat merapatkan jurang gol.

Walau bagaimanapun, barisan pertahanan Sang Kenari memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.