DPMM FC berdepan laluan sukar untuk layak ke separuh akhir Piala Presiden Indonesia 2026 apabila tewas 1-0 di tangan juara liga Indonesia, Persib Bandung.
Selepas diikat 2-2 oleh Tampines Rovers dalam aksi pertama kumpulan Piala Presiden Indonesia, DPMM memerlukan kemenangan jika ingin layak ke separuh akhir. Persib juga memerlukan kemenangan untuk layak ke separuh akhir.
DPMM menurunkan barisan terkuat untuk aksi berkenaan. Antaranya Danial Asri, Samuel Somerville, Dalberto Luan Belo, Oscar Santis dan pemain terbaru dari Finland, Felipe Aspegren.
Persib turut menampilkan ramai pemain baharu dalam kesebelasan utama mereka. Antaranya bekas pemain Buriram United, Sandy Walsh dan penyerang Montenegro, Balsa Sekulic.
Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan bersaing sengit memburu gol pendahuluan. Malangnya, benteng Persib dan DPMM masing-masing diterajui Julio Cesar dan Ebenezer Aban kental menyerap tekanan.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Persib meraih gol kemenangan menerusi Sekulic pada minit ke-74. Gol tersebut memastikan Persib layak ke separuh akhir.
DPMM masih berpeluang mengiringi Persib dengan syarat mereka menewaskan Arema FC dalam aksi terakhir kumpulan. Arema dijangka menjanjikan cabaran hebat menerusi tiga bekas pemain Terengganu FC iaitu Gabriel Silva, Diego Landis dan Careca.
Selain itu, mereka juga perlu berharap Persib menewaskan Tampines Rovers dalam aksi terakhir kumpulan.