Selangor terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi pra-musim pada petang Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan SFC itu menyaksikan Negeri Sembilan menurunkan tiga pemain import dalam kesebelasan utama dengan misi memburu kemenangan setelah tumpas kepada Terengganu dalam aksi lalu.
Anak-anak buah Nidzam Jamil bermula garang dengan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pemain import baharu pasukan, Alvin Fortes.
Jaringan awal tersebut seakan menyentak semangat skuad Rusa untuk bangkit memburu jaringan penyamaan namun, tiada gol tambahan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan sehingga tamat permainan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak The Red Giants.
Selangor bakal meneruskan aksi pra-musim dengan bertandang ke Stadium Ipoh bagi berdepan jaguh utara, Perak FC pada 20 April hadapan.
Manakala Negeri Sembilan bakal beraksi menentang KL City dalam perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 pada 22 April nanti di Stadium Bola Sepak Cheras.