Pra-Musim: Selangor Uji 5 Kelab Asia Di Thailand
MakanBola
Selangor FC

Tiga pasukan yang layak ke Asia antara lawan yang akan dihadapi Selangor FC untuk program pramusim di Thailand.

Tiga pasukan tersebut ialah Ratchaburi FC, Tai Po FC dan Lion City Sailors (LCS). Ini berdasarkan pengumuman lima perlawanan pemanas badan yang akan dihadapi Selangor di Thailand dari penghujung Julai hingga 15 Ogos ini.

Ratchaburi yang layak ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) akan menentang The Red Giants pada 28 Julai. Selepas itu, giliran Tai Po pula menguji anak buah Kim Pan-gon pada 31 Julai.

Dua kelab Thai League 1, Sukhotai FC dan PT Prachuap masing-masing akan menentang Selangor pada 4 dan 7 Ogos ini. LCS menutup program pramusim Selangor menerusi aksi pemanas badan pada 15 Ogos.

Tai Po dan LCS masing-masing layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini. Tai Po layak selaku juara Hong Kong FA Cup musim lalu dengan LCS pula layak sebagai juara Singapore Premier League (SPL).

Lima aksi pemanas badan ini bukan sekadar medan buat Pan-gon memantapkan barisan pemain Selangor. Malah, ini juga peluang buat The Red Giants menebus kekecewaan bila berdepan Ratchaburi dan LCS.

Sebelum ini, Selangor pernah tewas kepada The Dragons dalam aksi pemanas badan musim 2025/26. LCS pula memastikan Selangor kecewa sebanyak dua kali di peringkat kumpulan ACL2 musim lalu.