Terengganu FC membuka kempen pramusim di Thailand dengan kemenangan apabila membelasah kelab Hong Kong, Tai Po 4-1.
Aksi ini antara empat aksi yang diatur buat anak buah Nafuzi Zain sepanjang berada di Thailand. Meskipun berstatus aksi pemanas badan, Tai Po bukan calang-calang kerana bakal membawa cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini.
Malah, pasukan itu memberi tentangan sengit kepada pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC sebelum tewas 1-0.
Terengganu menurunkan barisan terkuat untuk perlawanan tersebut. Beberapa pemain baharu seperti Victor Ruiz, Elvis Kamsoba, Manuel Ott, Danial Amier Norhisham dan Pape Diakite diturunkan dalam kesebelasan utama.
Separuh masa pertama menyaksikan Peteh merobek gawang Tai Po sebanyak dua kali menerusi dua tonggak kebangsaan, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan.
Dominasi Terengganu diteruskan dalam babak kedua. Kali ini, giliran Ruiz dan penyerang Curacao, Gervane Kastaneer mencetak nama sebagai penjaring.
Tai Po menjaringkan gol saguhati menerusi penyerang veteran Brazil, Paulinho. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, Terengganu akan menentang kelab Thai League 1, PT Prachuap pada 6 Ogos ini.