Pra-Musim: Terengganu Tewaskan Prime Bangkok Penuh Handal
MakanBola
Terengganu FC

Bisa dua penyerang kebangsaan, Jordan Mintah dan Romel Morales membantu Terengganu FC menewaskan kelab Thai League 3, Prime Bangkok FC.

Selepas membelasah Tai Po FC dalam aksi pramusim sebelumnya, anak buah Nafuzi Zain dilihat bersemangat meneruskan rentak permainan bila turun menentang Prime Bangkok.

Aksi kali ini menyaksikan Mintah, Habib Haroon, Haziq Kutty Abba, Faiz Mazlan dan pemain sayap Brazil, Mateusinho diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Separuh masa pertama menyaksikan Prime Bangkok bekerja keras menangkis serangan Terengganu diketuai Mintah dan Mateusinho. Ini terbukti dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada rehat separuh masa.

Hal ini mendorong Nafuzi membuat beberapa perubahan termasuk memasukkan Morales untuk membantu serangan Peteh.

Hasilnya, gol Mintah dan bekas penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu memastikan Terengganu ceria pada akhir perlawanan. Prime Bangkok menyumbat gol saguhati tetapi tidak cukup untuk menghalang kemenangan Peteh.

Selepas ini, kelab Thai League 1, PT Prachuap bakal menanti Peteh dalam aksi persahabatan terakhir pada 6 Ogos ini.