Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum bangkit mengikat UD Castellonense dalam aksi ke-5 kempen pra-musim di Sepanyol.
Satu lagi keputusan seri dicatatkan oleh JDT dalam perlawanan pra-musim di Sepanyol, setelah terikat 1-1 apabila turun bertemu UD Castellonense di Alicante pada awal pagi Ahad ketika bangkit dari ketinggalan di awal aksi.
Gabungan pemain tempatan dan import sekali lagi menjadi taruhan jurulatih JDT, Xisco Munoz dengan nama-nama seperti Christian Abad, Teto Martin, Syahmi Safari serta Afiq Fazail membarisi kesebelasan utama pasukan pada aksi ini.
Seawal minit ke-11 permainan, JDT dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh pemain tengah, Ruben Murcia menerusi suatu percubaan yang berhasil menewaskan penjaga gol, Christian Abad Amat untuk UD Castellonense di hadapan 1-0.
Usaha JDT untuk mencari jaringan penyamaan membuahkan hasil selepas 5 minit bersambung separuh masa kedua setelah Matt Davies berjaya meledak gol untuk pasukan Harimau Selatan ini untuk kedudukan kembali terikat 1-1 selepas itu.
Tiada jaringan tambahan terhasil dalam baki 40 minit terakhir, menyaksikan JDT dan UD Castellonense terpaksa akur menamatkan aksi persahabatan ini dengan keputusan seri 1-1, setelah turut terikat ketika bertemu Elche CF dan Rangers sebelum ini.
Selepas ini, JDT akan turun menentang sebuah lagi pasukan dari Sepanyol, Costa City pada Isnin, 27 Julai hadapan di venue perlawanan yang sama.