Presiden FA Thailand Letak Jawatan
Asia Tenggara
FA Thailand
Advertisements

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Dr. Somyot Poompanmoung agar meletak jawatan. Dan hari ini, Somyot akur dengan desakan berkenaan dan mengumumkan perletakan jawatannya.

Ini sebagai menyahut seruan Prawit yang melihat Somyot patut bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Selain gagal meraih pingat emas dalam temasya berkenaan, final acara bola sepak Sukan SEA 2023 turut dicemari dengan insiden pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai Thailand dan Indonesia.

Somyot diberitahu tentang desakan yang dibuat Prawit oleh Setiausaha Agung FAT, Pathis Supapong yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Thailand (NOC) semalam.

Advertisements

Keputusan perletakan jawatan beliau akan dimaklumkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

“Saya, sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) di mana ia merupakan agensi di bawah seliaan dan didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT) bersedia mematuhi arahan Jeneral Prawit dan akan mengikuti langkah seterusnya.

“Keputusan dan sebab perletakan jawatan akan dipanjangkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Advertisements

“Ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa menyelia operasi dan tanggungjawab negara-negara ahli,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook FAT hari ini.

Somyot menggalas peranan sebagai Presiden FAT sejak 2016 selepas memenangi pemilihan jawatan tersebut pada 11 Februari 2016.

Sepanjang tujuh tahun bergelar presiden, Thailand menjulang Piala AFF sebanyak tiga kali pada 2016, 2020 dan 2022. Bagaimanapun, Somyot gagal menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi pada 2007.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram