Presiden Baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub menjawab mengenai proses terkini pemain warisan Harimau Malaya.
Pada Sabtu lalu, Datuk Joehari Ayub telah dipilih sebagai Presiden FAM setelah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding ketika kongres badan induk bola sepak negara itu.
Selaku Presiden FAM, Datuk Joehari turut memasang impian menyaksikan pasukan kebangsaan berjaya selain meluahkan rasa teruja dengan perkembangan Revolusi Harimau Malaya kini.
”Hasrat saya sama seperti impian semua peminat iaitu untuk menang, dan saya juga amat teruja untuk projek baharu yang akan tiba tidak lama lagi,” kata Datuk Joehari Ayub ketika sesi sidang media.
Oleh itu, Datuk Joehari berikrar bahawa FAM bakal berusaha sedaya upaya menyokong projek ini dan berharap sokongan daripada semua pihak termasuklah penyokong-penyokong.
”Jadi kami di FAM akan berusaha sehabis baik bagi pastikan projek ini berjalan sebaik mungkin dan pastinya sasaran kita untuk capai kemenangan.”
”Jadi kalian semua harus tunggu berita yang akan tiba yang buat saya sungguh teruja dan saya harap kalian semua juga.”
Ketika ditanya berkenaan makluman terkini pemain warisan negara, Datuk Joehari hanya meminta semua pihak supaya menunggu sedikit masa lagi oleh kerana proses ini masih sedang berjalan.
”Akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Datuk Joehari secara ringkas.
“Nanti kita umumkan, sekarang ini masih dalam proses,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend mendedahkan seorang pemain warisan dari Belanda bakal memperkuat skuad negara bagi hadapi Kelayakan Piala Asia.