Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka berdepan kesukaran bagi menentukan penyerang yang bakal mengepalai jentera serangan Malaysia di FIFA ASEAN Cup.
Kem latihan Harimau Malaya bakal bermula pada Isnin dengan 23 pemain yang dipanggil akan melapor diri di ibu kota sebelum terbang ke Indonesia menjelang perlawanan pertama FIFA ASEAN Cup menentang Bangladesh pada Jumaat.
Senarai pemain yang dibawa Tan Cheng Hoe kali ini menyaksikan kelibat penyerang naturalisasi baharu, Bergson Da Silva antara yang memperoleh tumpuan hangat selepas mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili negara beberapa minggu lalu.
Persembahan mantap daripada Bergson pada musim ini dan musim-musim sebelumnya menambah keterujaan peminat Harimau Malaya untuk melihat tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) ini mengetuai jentera serangan pasukan negara.
Selain Bergson, dua lagi penyerang turut disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe untuk dibawa ke Indonesia dan melihat kepada prestasi semasa, kesemua 3 ‘mesin gol’ ini sedang berada pada tahap terbaik mereka dalam saingan liga domestik.
Fergus Tierney yang kini beraksi buat PAC Omonia di Liga Cyprus baru sahaja membuka akaun gol di sana selepas menjaringkan gol penyamaan ketika tewas 1-2 di tangan AEK Larnaca dalam aksi liga pada Sabtu lalu.
Setakat ini, penyerang berusia 23 tahun itu sudah pun mengumpul satu gol dan satu bantuan jaringan dalam 3 penampilan musim ini untuk membantu PAC Omonia berada di kedudukan ketujuh Liga Cyprus dan mengumpul 5 mata.
Nama Romel Morales juga antara pilihan bagi memimpin jentera serangan negara di FIFA ASEAN Cup selepas pemain naturalisasi negara ini dilihat kembali menemui sentuhan jaringan bersama kelab baharunya, Terengganu musim ini.
Baru-baru ini, Romel Morales berjaya mencetak gol bagi membantu Sang Penyu menewaskan DPMM dalam aksi Piala FA, selain satu lagi jaringan terhasil ketika mengikat Star City 1-1 dalam saingan Liga Super di Kangar.
Prestasi hebat Bergson, Fergus Tierney dan Romel Morales ini dianggap sebagai satu berita baik untuk kem negara khususnya di jentera serangan, bagi mengatasi masalah ketumpulan barisan hadapan setiap kali pasukan negara beraksi.