Fergus Tierney Buka Akaun Gol Di Cyprus
MakanBola
PAC Omonia 29M

Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney membuka akaun jaringannya bersama kelab Cyprus, PAC Omonia 29M.

Gol tersebut dijaringkan dalam aksi terbaru Divisyen Pertama Cyprus Kumpulan A antara kelab itu dan AEK Larnaca yang berlangsung pada awal pagi Sabtu.

Selepas ketinggalan menerusi gol Nicolas Andreggen, PAC Omonia 29M bangkit menyamakan kedudukan menerusi Tierney pada minit ke-41.

Bekas penyerang Sabah FC itu tenang menolak bola dari jarak dekat ke dalam gawang yang menewaskan penjaga gol Larnaca, Alberto Paleari. Ini gol pertama Tierney bersama PAC Omonia 29M sejak menyertai kelab itu pada Julai lalu.

Klip video gol bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikongsikan Harimau Abroad. Lebih menarik, ada penyokong PAC Omonia 29M turut mengibarkan bendera Malaysia bagi meraikan jaringan Tierney.

Meskipun begitu, PAC Omonia 29M terpaksa berputih mata apabila Riad Bajic menjaringkan gol kemenangan buat pelawat pada minit ke-84.

Keputusan ini menyaksikan PAC Omonia 29M berada di tangga ketujuh dengan lima mata. Larnaca pula muncul pendahulu liga dengan sembilan mata.

Tierney mengakui gembira kerana berjaya meraih gol sulung bersama kelab itu. Pada masa sama, beliau melihat kekalahan itu sebagai pemangkin buat PAC Omonia 29M untuk bangkit dan kembali memburu kemenangan.

Instagram Fergus Tierney Fergus Tierney Buka Akaun Gol Di Cyprus

“Gembira dengan gol pertama saya dan bangga dengan semangat juang pasukan saya. Malangnya, kita tidak mendapat keputusan yang kita mahukan, kita akan terus bekerja keras,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.

Gol itu juga menjadi pembakar semangat buat Tierney apabila menyertai kem Harimau Malaya bagi menghadapi saingan FIFA ASEAN Cup.