Asia

Cerezo Osaka & Dion Cools ‘Kejar’ Ranking JDT Di Asia

Arif Cools JDT Cerezo Osaka & Dion Cools 'Kejar' Ranking JDT Di Asia
JST/Cerezo Osaka
Advertisements

Kelab gergasi Jepun, Cerezo Osaka dan bintangnya, Dion Cools kini semakin menghampiri kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai kelab terbaik Asia.

Cools menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama menyertai kelab divisyen teratas Jepun selepas menyarung jersi Cerezo Osaka. Beliau berpindah secara tetap daripada Buriram United, juara Thai League 1 pada Jun 2025 dan terus menjadi tonggak penting dalam skuad kelab yang berpangkalan di Osaka itu.

Dari segi prestasi semasa, Cerezo merekodkan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam lima aksi terakhir. Cerezo merakamkan keputusan seri 1-1 di tempat Nagoya Grampus, seri 2-2 ketika menentang JEF United Chiba dan menang 3-1 di tempat Mito Hollyhock dalam Piala Liga. Mereka kemudian tewas 1-4 kepada Kashima Antlers pada 31 Oktober 2026.

Skuad Sakura bagaimanapun bangkit dalam derbi Osaka hujung minggu lalu apabila menewaskan Gamba Osaka 3-2 di Panasonic Stadium Suita pada 8 November. Gol kemenangan dijaringkan Rikito Inoue, Pablo Sabbag dan Hayato Okuda, manakala pemain berusia 30 tahun itu disenaraikan dalam kesebelasan utama sebagai salah seorang daripada tiga pertahanan tengah dalam formasi 3-4-2-1. Kemenangan itu menolak Cerezo naik ke tangga ke-11 liga.

Bagi JDT pula, Harimau Selatan masih menunjukkan taring dengan empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir. Pasukan kendalian Xisco Munoz menundukkan Terengganu 3-0 dalam Liga Super. Selepas itu, mereka menang 2-0 di tempat DPMM FC dalam aksi pertama separuh akhir Piala FA dan menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 26-27. Wakil Malaysia itu kemudian tewas 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Piala Dunia Jeonju.

Kemudian, JDT membelasah DPMM FC 6-1 dalam aksi kedua separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim untuk mara ke final Piala FA 26-27 dengan agregat 8-1. Ini merupakan kali kelima berturut-turut mereka layak ke final, dan mereka akan bertemu Kuching City FC di SSI pada 16 Januari 2027. Dalam lima aksi tersebut, JDT menjaringkan 14 gol dan hanya dibolosi tiga kali.

Berdasarkan ranking kelab Asia terkini Opta Analyst, JDT berada di tangga ke-12 dengan 80.1 mata penilaian dan menduduki tempat ke-334 dunia. Cerezo pula di tangga ke-20 Asia dengan 77.4 mata penilaian dan tempat ke-527 dunia.

Menariknya, Harimau Selatan masih mengatasi beberapa nama besar Jepun seperti Yokohama F. Marinos (ke-14), Kawasaki Frontale (ke-15) dan Urawa Reds (ke-16). Cerezo pula kini berada di atas Kyoto Sanga (ke-21) dan seteru tradisi mereka, Gamba Osaka (ke-22), yang baru sahaja mereka tumbangkan dalam derbi.

Di puncak ranking pula, Al Hilal masih berada di tangga teratas Asia dengan 85.8 mata dan menduduki tempat ke-82 dunia. Seteru mereka dari Riyadh, Al Nassr, berada di tempat kedua dengan 84.0 mata (ke-134 dunia) manakala Sanfrecce Hiroshima melengkapkan tiga teratas dengan 83.2 mata (ke-161 dunia) dan menjadi satu-satunya wakil Jepun dalam kelompok tersebut. Kelab dari Hiroshima itu juga pernah ditewaskan JDT dengan agregat 3-2 dalam kempen ACLE musim lalu.

Cerezo Osaka akan menerima kunjungan FC Tokyo pada 21 November, iaitu pasukan yang berada di tangga keenam ranking Asia Opta.

JDT pula akan bertandang ke Hanoi bertemu Công An Hà Nội bagi aksi ASEAN Club Championship 2026-27 pada 19 November, sebelum menentang Ratchaburi FC di tempat lawan dalam ACLE 26-27 pada 24 November 2026.