Rafael Vitor Kembali Ke Brazil, Sertai Amazonas
MakanBola
Amazonas FC

Teka-teki destinasi bekas kapten Penang FC, Rafael Vitor akhirnya terjawab.

Ramai penyokong Sang Harimau Kumbang sedih apabila bek tengah berusia 32 tahun itu memilih meninggalkan pasukan utara tanah air itu.

Ini kerana Vitor bukan saja seorang bek tengah yang berkualiti. Malah, bekas pemain Villa Nova itu turut menonjol sebagai kapten sepanjang tempoh lima setengah musim.

Susulan itu, timbul khabar angin yang mengaitkan Vitor dengan perpindahan ke kelab gergasi selatan negara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kini, bek tengah Brazil itu sah kembali ke kampung halamannya dengan menyertai kelab Amazonas FC. Vitor menjadi sebahagian daripada tujuh pemain baharu pasukan berkenaan.

“Bergelar juara bersama Amazonas FC untuk pencapaian pertama mereka dalam sejarah pada 2019, pemain pertahanan Rafael Vitor kembali bersama kelab selepas lima setengah musim beraksi dalam bola sepak Malaysia. Selamat kembali, Rafa,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pemergian Vitor mendorong Penang mendapatkan khidmat bekas orang besi Sri Pahang FC, Stefano Brundo sebagai pengganti.