Bekas kapten Sri Pahang FC, Stefano Brundo dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perpindahan ke Penang FC.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan Brundo kini sudah berada di Pulau Pinang untuk melengkapkan perpindahan.
“(Stefano Brundo) katanya sudah sampai di ‘Home of Nasi Kandar’,” katanya di X.
Sekiranya semua proses berjalan lancar, pemain tengah berusia 32 tahun itu bakal menjadi tonggak import terbaru Sang Harimau Kumbang.
Sebelum ini, Bruno Suzuki, Tchetche Kipre, Danilo Sipovac dan Thiago Oliveira Fernandes telah melengkapkan perpindahan ke Pulau Mutiara itu.
Mereka menyertai satu-satunya tonggak import Penang yang dikekalkan untuk musim 2025/26, Dylan Wenzel-Halls.
Selain kuartet berkenaan, Sang Harimau Kumbang sudah merekrut 10 pemain tempatan baharu. Ini termasuk Wan Zack Haikal Wan Noor, Khairulazhan Khalid dan Chia Ruo Han.
Brundo dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas kapten, Rafael Vitor. Ini selepas Vitor memilih meninggalkan pasukan utara tanah air itu baru-baru ini.