Rahman Daud Ucap Selamat Tinggal Kepada Selangor
MakanBola
Selangor FC

Penyerang Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Abdul Rahman Daud mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor FC.

Hal ini dinyatakan penyerang berusia 21 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram. Meskipun mengakui keputusan ini bukan mudah, Rahman melihat ini pilihan terbaik demi kelangsungan kariernya.

“Saya telah membuat keputusan untuk terus mengejar impian saya di kelab lain dan sejujurnya, ini salah satu keputusan yang paling sukar yang pernah saya buat. Tetapi demi kemajuan peribadi saya, saya rasa masanya sudah tepat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurus Selangor FC dan semua staf jurulatih yang telah membimbing saya dan membantu saya sepanjang empat musim di sini. Terima kasih atas kepercayaan, semua sokongan dan ilmu yang anda berikan kepada saya,” katanya.

Rahman turut mengakui kecewa kerana tidak dapat membantu Selangor FC II menamatkan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan trofi kejuaraan musim ini.

Pada masa sama, beliau tetap berbangga dengan pencapaian yang dilakar pasukan muda Selangor dalam saingan liga itu.

“Saya berasa sedih kerana kita tidak dapat menamatkan musim dengan kejuaraan dan juga berasa sedih kerana saya tidak dapat menubuhkan diri saya sebagai pemain utama di sini secara kekal.

“Tetapi saya berasa bangga dengan apa yang kita capai bersama terutamanya dengan semua cabaran yang kita hadapi,” tambahnya.

Rahman dilaporkan bakal menyertai Negeri Sembilan FC pada musim hadapan. Sekiranya perpindahan itu disahkan, beliau bakal bersaing dengan Joseph Esso dan Luqman Hakim Shamsudin di bahagian serangan.

Rahman menamatkan kempen Liga A1 sebagai penjaring kedua terbanyak musim ini dengan 24 gol.

Claim Money Packet TnG