Buriram United dilihat sudah mengetahui rahsia Selangor FC menjelang aksi final pertama Shopee Cup.
Antara rahsia pasukan itu ialah permukaan rumput Stadium MBPJ. Hal ini dinyatakan jurulatih Buriram, Mark Jackson dalam sidang media pascaperlawanan separuh akhir kedua kejohanan itu baru-baru ini.
Jackson diberitahu oleh wartawan SNE Sports berhubung padang rumput stadium berkenaan. Bekas jurulatih Leeds United itu kemudiannya mengucapkan terima kasih atas maklumat tersebut.
”Beraksi di luar negara bermakna kami menghadapi banyak cabaran. Saya amat berterima kasih atas maklumat tentang padang (Stadium MBPJ) itu.
“Saya dan pasukan saya bekerja keras, memantau cuaca dan menganalisis faktor-faktor lain,” katanya.
Maklumat tersebut dilihat membantu persediaan Buriram lebih-lebih lagi pasukan itu akan beraksi tanpa dua tonggak iaitu Guilherme Bissoli dan Goran Causic.
Bissoli dan Causic masing-masing perlu menjalani penggantungan selepas mengutip kad merah dalam aksi separuh akhir kedua pada 13 Mei lalu.
Selangor dan Buriram akan berentap dalam aksi final pertama di Stadium MBPJ pada 20 Mei. Ini disusuli aksi final kedua yang berlangsung di Stadium Buriram pada 27 Mei.