Jurulatih Buriram United, Mark Jackson sempat berterima kasih di atas maklumat penting tentang pasukan Selangor menjelang final ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup.
Selangor dan Buriram United akan bertemu dalam aksi final ACC Shopee Cup 2025-2026 dengan wakil tunggal negara ini bakal berdepan tugas hebat bagi merebut trofi dari juara bertahan.
Malah, Buriram United kini berada dalam prestasi terbaik setelah berjaya menyingkirkan jaguh Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir meskipun diberi cabaran hebat.
Menjelang perlawanan akhir pertama di Stadium MBPJ ini, Mark Jackson sebagai pengendali Buriram United melihat cabaran setiap kali bermain di tempat lawan adalah begitu hebat.
Beliau turut berterima kasih apabila menerima maklumat berkenaan keadaan padang di Stadium MBPJ dan bakal memantau lebih lagi keadaan semasa bersama barisan kejurulatihan.
”Beraksi di luar negara bermakna kami menghadapi banyak cabaran. Saya amat berterima kasih atas maklumat tentang padang (Stadium MBPJ) itu,” ucap Mark Jackson menurut laporan SNE Sports.
“Saya dan pasukan saya bekerja keras, memantau cuaca dan menganalisis faktor-faktor lain.”
Perlawanan final pertama ACC Shopee Cup antara Selangor vs Buriram United bakal diadakan pada Rabu, 20 Mei 2026 dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9.00 malam waktu tempatan