Ralph Hassenhuttl Enggan Ikuti Jejak Langkah Roy Hodgson
EPL
Ralph Hassenhuttl/Southampton FC/Getty Images
Advertisements

Bagi mana-mana pengurus, mereka sentiasa menetapkan tempoh sesuai untuk bersara dari dunia bola sepak. Ini bagi membolehkan mereka meninggalkan kelab dalam keadaan stabil. Dan itu merupakan harapan pengurus Southampton, Ralph Hassenhuttl yang mahu bersara dua tahun dari sekarang.

Hassenhuttl, 54, langsung tidak berminat mengikut jejak langkah pengurus veteran Roy Hodgson. Hodgson yang mempunyai pengalaman pengurusan selama 46 tahun kembali ke EPL selepas bersetuju mengemudi kelab London, Watford. Antara kelab yang pernah dikendalikan beliau ialah Crystal Palace, Blackburn Rovers, Inter Milan dan Fulham.

Dalam temubual bersama majalah sukan Kicker, Hassenhuttl berharap dapat menstabilkan kelab untuk dua tahun berikutnya. Setelah itu, barulah beliau berundur dari dunia bola sepak. Beliau berkata, “Saya mahu membuktikan bahawa saya boleh bekerja dengan baik di sebuah kelab bola sepak untuk satu tempoh yang lama.

Advertisements

“Saya berharap tempoh lima tahun setengah dapat dicapai di sini (Southampton), itu merupakan satu tempoh lama dalam bola sepak moden dan selepas itu, saya ingin bersara. Lima tahun di EPL, memakan banyak tenaga tak kira kepuasan kerja. Saya tidak boleh membayangkan melakukan perkara lain dalam bidang kejurulatihan selepas ini.”

Sekiranya rancangan pengurus Austria itu berjalan lancar, ini menjadikan beliau pengurus Saints paling lama sejak era Chris Nicholl. Nicholl berkhidmat di The Dell (stadium lama Southampton) dari 1985 hingga 1991 dan bertanggungjawab memberi peluang kepada legenda seperti Matt Le Tissier, Alan Shearer dan Tim Flowers.

Tambah Hassenhuttl lagi, rancangannya ini telah dimaklumkan kepada pemilik baru kelab, Sport Republic. Beliau menambah, “Saya berharap dapat memberi kestabilan kepada Saints pada 2024 tetapi selepas itu, sudah tiba masa untuk saya mengundur diri.

Advertisements

“Pada ketika itu, saya sudah berusia 57 tahun. Saya mahu merasai pengalaman lain dalam kehidupan dan tidak mahu duduk di bangku simpanan seperti Roy Hodgson pada umur 74 tahun. Sudah pasti tidak.”

Rancangan Hassenhuttl ini mirip rancangan rakan senegaranya yang menguruskan Liverpool, Jurgen Klopp. Seperti pengurus Austria itu, Klopp merancang untuk tidak menjadi pengurus sehingga mencecah usia 70-an. Ini didedahkan dalam temubualnya bersama Liverpool Echo pada akhir musim lepas.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram