Ramadan Ondash Tak Nak Lawan Johan Ghazali Lagi
UltraSukan
ONE Championship

Jaguh Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash mengulangi pendirian tegas untuk tidak menentang jaguh Malaysia, Johan Ghazali buat kali kedua.

Sebelum ini, jaguh negara berusia 19 tahun itu berhasrat untuk bertarung semula dengan Ramadan susulan kekalahan beliau dalam ONE: The Inner Circle 24 baru-baru ini.

Meskipun begitu, jaguh Lubnan itu menolak hasrat Johan yang mesra disapa Jojo itu. Malah, Ramadan secara berseloroh memaklumkan sedia mempertimbangkan hasrat tersebut jika beliau mengemukakan bayaran AS$100,000 (RM409,150).

“Tidak. Jika beliau boleh bayar AS$100,000 (RM409,150), pertarungan semula (boleh dibuat) – itu saja,” katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong kemudiannya berpandangan pertarungan semula antara Johan dan Ramadan patut diadakan dengan mengambil kira keputusan aksi sebelumnya.

Kini, jaguh Lubnan itu memberi jawapan tegas berhubung prospek pertarungan semula antara beliau dan Johan. “Tiada peluang untuk pertarungan semula,” katanya di Instagram Story.

Ramadan kini fokus bukan saja untuk memburu gelaran juara dunia ONE Championship dalam kategori flyweight. Malah, beliau juga berharap dapat bertarung di Qatar jika ONE Championship mengadakan pertarungan seterusnya di negara Asia Barat itu.

bfbff2a1 f9f7 4035 81c9 434b68ef4115 Ramadan Ondash Tak Nak Lawan Johan Ghazali Lagi

Buat masa ini, sebarang perancangan untuk mengadakan pertarungan di rantau itu terpaksa ditangguhkan susulan konflik terbaru antara Amerika Syarikat (US) dan Iran.

Meskipun begitu, jika ONE Championship memilih kembali ke Qatar, Ramadan berharap dapat terpilih untuk bertarung untuk aksi tersebut. Jaguh Lubnan itu melihat ini memberi peluang kepada penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada beliau.