Kedudukan ranking 7 beregu lelaki Malaysia meningkat naik tanpa henti sejak awal hingga akhir musim 2024.
Saingan Jelajah Dunia BWF musim 2024 telah melabuhkan tirainya dengan kota Hangzhou di China menjadi destinasi terakhir para jaguh dunia berentap memburu gelaran juara.
Sepanjang 2024, sektor beregu lelaki mencatat peningkatan ketara dengan tumpuan pastinya terarah kepada gandingan Nur Izzuddin-Goh Sze Fei yang mengharungi musim cukup cemerlang.
Izzuddin-Sze Fei memulakan tahun 2024 di ranking ke-26 dunia sebelum 3 gelaran juara di Jepun, China dan Finland mengangkat pasangan negara ini ke kedudukan ke-3 dunia di akhir musim.
Satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengakhiri musim 2024 dengan kenaikan lima anak tangga apabila berada di ranking ke-14 dunia berbanding awal tahun lalu.
Chong Hoon Jian-Haikal Nazri yang berada di tempat ke-52 pada awal Januari lalu meningkat 31 anak tangga untuk kini menduduki ranking ke-21, menghampiri kelompok 20 terbaik dunia.
Sementara, Arif Junaidi-Yap Roy King mencatat peningkatan 37 anak tangga berbanding awal tahun 2024 dari kedudukan ke-60 melonjak ke ranking 23 dunia di minggu ke-52 ketika ini.
Beregu senior, Nur Azriyn-Tan Wee Kiong turut mengharungi musim 2024 dengan cemerlang dengan ketika ini menghuni ranking ke-32, berbanding ranking 90 pada minggu pertama 2024.
Malah, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang bergerak secara profesional turut melonjak 1 anak tangga dari kedudukan ke-46 pada awal tahun 2024 dan kini menghuni ranking ke-45 dunia.
Pasangan muda, Aaron Tai dan Kang Khai Xing yang muncul juara remaja dunia mencatat kenaikan paling tinggi, 197 anak tangga untuk menembusi kelompok 60 terbaik di ranking ke-58 dunia.
Secara keseluruhannya, musim 2024 ini menyaksikan beregu lelaki negara mengharungi musim cemerlang dalam saingan Jelajah Dunia BWF dengan ketika ini 7 pasangan menghuni kelompok 32 terbaik.