Pencapaian cemerlang badminton Malaysia sepanjang 2024 menyaksikan enam beregu lelaki negara kini berada di dalam kelompok 30 terbaik dunia.
Aksi Jelajah Dunia BWF 2024 telah menutup tirainya pada Ahad dengan kota Hangzhou, China menjadi saksi kepada aksi hebat pasangan beregu lelaki negara, Izzuddin-Sze Fei.
Izzuddin-Sze Fei bangkit dari kekalahan pertama di peringkat kumpulan sebelum melakar sejarah muncul naib juara World Tour Finals dalam penampilan pertama setelah tewas kepada wakil Denmark.
Kejayaan itu juga melonjakkan kedudukan Izzuddin-Sze Fei sebanyak empat anak tangga untuk berada di ranking ke-3 dunia dan muncul beregu lelaki nombor satu Malaysia buat masa ini.
Manakala, beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur jatuh 1 anak tangga ketempat ke-6 dalam carta ranking BWF setelah tewas di peringkat kumpulan World Tour Finals yang lalu.
Kedudukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula masih kekal di tangga ke-14 dunia dengan 56530 mata, begitu juga Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang berada di tangga ke-21 seperti sebelum ini.
Tidak jauh ketinggalan, 2 lagi beregu lelaki negara iaitu Yap Roy King-Arif Junaidi dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang kini di ranking ke-23 dan 24 untuk melengkapkan 6 wakil Malaysia dalam kelompok 30 dunia.
Takhta selaku beregu lelaki nombor satu dunia kini diambil alih oleh jaguh Denmark yang juga juara World Tour Finals, Kim Astrup-Anders Rasmussen yang memintas Liang Wei Keng-Wang Chang.
Saingan Jelajah Dunia BWF musim 2025 akan bermula pada 7 Januari ini dengan Malaysia Open bakal menjadi kejohanan pembuka tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil.