Advertising
Senarai 18 Wakil Negara Di Malaysia Open 2025
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Seramai 18 wakil negara bakal beraksi di kejohanan Malaysia Open 2025 pada Januari hadapan.

Malaysia Open 2025 merupakan kejohanan Super 1000 yang menghimpunkan jaguh-jaguh badminton dari seantero dunia untuk siri Jelajah Dunia yang pertama bagi musim 2025.

Ad

Senarai pemain yang bertanding telah dikeluarkan oleh pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menyaksikan 18 wakil Malaysia bakal membawa cabaran negara di hadapan peminat sendiri.

Ad

Bagi acara perseorangan lelaki, kelibat Lee Zii Jia pastinya menjadi tumpuan para peminat badminton tempatan sambil Leong Jun Hao turut tersenarai dalam senarai 32 pemain.

Kali terakhir wakil Malaysia meraih gelaran juara bagi acara perseorangan lelaki menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018 setelah menewaskan wakil Jepun, Kento Momota di final.

Ad

Pemain profesional negara, Goh Jin Wei pula bakal menjadi sandaran tunggal Malaysia dalam acara perseorangan wanita dan akan bersaing bersama jaguh dunia seperti An Se Young.

Ad

Acara beregu lelaki menyaksikan tujuh jaguh Malaysia bakal beraksi diketuai oleh bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Ad

Dua pasangan berpengalaman, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Azriyn-Tan Wee Kiong turut serta bersama dua beregu muda Choong Hon Jian-Haikal Nazri, Arif Junaidi-Yap Roy King.

Olimpian negara, Pearly Tan-Thinaah bakal mewarnai acara beregu wanita di Malaysia Open 2025 dan akan disertai dua lagi wakil, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien serta Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.

Lima pasangan beregu campuran negara akan turun beraksi diketuai oleh 3 wakil berpengalaman Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Soon Huat-Shevon Lai, dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Naib juara China Masters, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin akan melakukan debut bersama di pentas Malaysia Open dan juga beregu profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.

Malaysia Open 2025 bakal bermula pada 7 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan hadiah kemenangan USD1,450,000 sekitar RM6,448,832 bakal menanti para pemenang.

Tiket untuk menyaksikan Petronas Malaysia Open 2025 sudah mula dijual pada Khamis lalu dan boleh didapati di laman web ticket2u.