Advertising
World Tour Finals: Beregu No. 2 Dunia Sekat Impian Juara Sze Fei-Nur Izzuddin
UltraSukan
Victor Malaysia

Hasrat Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama meraih gelaran juara BWF World Tour Finals 2024 tidak kesampaian.

Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas kepada beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Ad

Beregu lelaki negara itu ceria apabila menyingkirkan beregu utama Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto di peringkat separuh akhir. Kejayaan itu turut melonjakkan kedudukan ranking Sze Fei-Nur Izzuddin menjadi regu nombor tiga dunia.

Ad

Astrup-Rasmussen menjadi penghalang antara wakil negara dan gelaran juara BWF World Tour Finals. Beregu Denmark itu memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan lalu dengan tujuh kemenangan daripada sembilan pertemuan sebelumnya.

Ini termasuk kemenangan dalam saingan Kumpulan A pada 11 Disember lalu. Astrup-Rasmussen berhempas pulas sebelum menewaskan Sze Fei-Nur Izzuddin dengan keputusan 21-18, 16-21, 21-14.

Ad

Set pertama menyaksikan juara Malaysia Masters 2024 itu berjaya menyaingi regu negara dengan pukulan-pukulan smash yang kencang. Ini membolehkan Astrup-Rasmussen mendahului pada kedudukan 11-6.

Ad

Meskipun Sze Fei-Nur Izzuddin cuba memberi saingan sengit kepada naib juara dunia 2023 itu, Astrup-Rasmussen kekal dominan. Mereka kemudiannya mengungguli set pertama dengan keputusan 21-17.

Ad

Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit dengan mempamerkan aksi lebih mantap. Ini membolehkan mereka mendahului pada kedudukan 11-9.

Astrup-Rasmussen cuba merapatkan jurang mata. Malangnya, beberapa kesilapan yang dilakukan juara Canada Open 2024 itu membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-17.

Keputusan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan. Set ketiga menyaksikan kedua-dua beregu pada awalnya saling bersaing mendapatkan mata.

Astrup-Rasmussen kemudiannya memiliki kelebihan empat mata pada kedudukan 11-7. Kelebihan itu terus dilebarkan sebelum beregu Denmark itu meraih kemenangan dengan keputusan 21-11.

Keputusan ini menyaksikan Astrup-Rasmussen meraih hadiah kemenangan berjumlah AS$210,000 (RM934,000). Sze Fei-Nur Izzuddin pula meraih hadiah wang berjumlah AS$100,000 (RM445,000) selaku naib juara.