Biarpun tiada perlawanan antarabangsa buat Malaysia dan Indonesia sepanjang bulan Julai, namun kemaskini ranking terbaru FIFA menyaksikan Kepulauan Solomon menjadi punca Malaysia dan Indonesia naik satu anak tangga.
Malaysia dan Indonesia dipastikan naik satu anak tangga ranking FIFA selepas Kepulauan Solomon yang sebelum ini menduduki ranking ke-133 ditolak sebanyak 35.96 mata selepas mencatatkan dua kekalahan dalam kejohanan Piala Negara-Negara OFC.
Kepulauan Solomon tewas 0-3 kepada New Zealand pada aksi pertama dan tewas 0-1 kepada Vanuatu pada aksi kedua sekali gus menamatkan saingan Kumpulan A dengan tanpa sebarang mata.
Penolakan 35.96 mata Kepulauan Solomon itu membolehkan Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-134 manakala Indonesia mengambil alih kedudukan Kepulauan Solomon di kedudukan ke-133.
Selain hanya dipisahkan satu anak tangga dan Malaysia dan Indonesia turut dipisahkan dengan satu mata sahaja.
Bagi aksi antarabangsa seterusnya, Malaysia dijadualkan bakal beraksi dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024, September depan. Selain Malaysia, kejohanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil tersebut turut disertai tiga lagi negara iaitu Tajikistan, Filipina dan Lubnan.