Ranking Malaysia Naik, Tekanan Vietnam Makin Besar
MakanBola
VFF

Malaysia kini menghampiri kedudukan Vietnam menjelang aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Skuad kendalian Peter Cklamovski mencatatkan peningkatan mendadak setelah aksi cemerlang yang ditampilkan pada tahun 2025.

Harimau Malaya kini menghuni tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata – 3 mata meninggalkan Vietnam pada kedudukan kedua.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan, dengan aksi terakhir bertemu pasukan kendalian Kim Sang-sik.

Kemas kini ranking FIFA juga menyaksikan Malaysia melonjak ke kedudukan 121 dunia dengan 1145 mata, menjadi pasukan ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Thailand (96) dan Vietnam (108).

Pasukan kebangsaan mencatatkan peningkatan sekitar 11 anak tangga sejak awal 2025, dengan kedudukan pada Januari 2025 menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-132 dunia. 

Sementara itu, Vietnam mengalami kejatuhan ranking FIFA berdasarkan kemas kini semasa setelah berada pada tangga ke-108 dunia dengan 1189 mata.

Rekod terdahulu menyaksikan Malaysia melakar kemenangan besar 4-0 ke atas pasukan Bintang Pahlawan Emas itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi kedua kumpulan. 

Aksi antara Vietnam vs Malaysia dijadual berlangsung pada 31 Mac 2026 di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.