Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend memberikan gambaran situasi semasa membabitkan kes 7 pemain naturalisasi negara di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Umum mengetahui bahawa sesi pendengaran kes 7 pemain warisan Malaysia sudah pun selesai dalam satu sidang yang diadakan di Switzerland pada pagi Jumaat waktu tempatan.
Satu lagi episod penantian terpaksa dilalui penyokong bola sepak tempatan sebelum keputusan muktamad berhubung isu ini diumumkan secara rasmi yang dijangka pada minggu hadapan.
Di kem Harimau Malaya, pandangan positif dilontarkan oleh Rob Friend sebaik tamat perbicaraan di CAS yang memakan masa sekitar 12 jam bersama peguam di kedua-dua belah pihak.
“Ia adalah minggu yang produktif,” ungkap Rob Friend.
“Berdasarkan kemas kini, perbicaraan tersebut mengambil masa selama 12 jam.”
“FIFA memiliki peguam mereka (dan) kami juga mempunyai peguam kami bersama Kesatuan Pemain Profesional Dunia (FIFPRO) serta pemain-pemain,” ujar Rob Friend memetik laporan Stadium Astro.
“Kami optimis,” tegas beliau lagi mengenai peluang rayuan yang dikemukan ini.
Seandainya keputusan di CAS ini memihak FAM, kesemua 7 pemain ini boleh kembali beraksi tanpa sebarang isu namun jika sebaliknya, hukuman penggantungan asal akan kembali bersambung.