Ranking Masa-Nyata FIFA: Latvia ‘Bantu’ Malaysia Naik Lagi
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia terus merekodkan peningkatan dalam kedudukan ranking masa-nyata FIFA hasil keputusan pasukan Latvia yang memberikan kesan buat posisi Harimau Malaya ketika ini.

Semua sedia maklum bahawa 6 keputusan kekalahan yang dijatuhkan oleh FIFA dan AFC tahun lalu serta hanya satu perlawanan di tahun 2026 telah memberikan kesan yang besar kepada kedudukan ranking pasukan negara.

Penurunan sebanyak 17 anak tangga mengakibatkan ranking Malaysia jatuh mendadak hingga ke kedudukan 138 dunia dengan hanya mengutip 1086.22 mata menurut kemaskini pada April, jauh tertinggal berbanding negara jiran yang lain.

Dengan ketiadaan aksi persahabatan pada jendela antarabangsa bulan ini, ranking Malaysia bagaimanapun mencatatkan kenaikan dua anak tangga dan berada di ranking ke-136 dunia berdasarkan semakan terkini di laman sesawang FIFA.

Kenaikan dua anak tangga ini dilihat berpunca daripada keputusan kurang memuaskan oleh pasukan-pasukan seperti India dan Latvia yang berada di ranking sekitar Malaysia, sekali gus membantu lonjakan kecil untuk skuad kebangsaan.

India mencatatkan 3 kekalahan dan satu keputusan seri baru-baru ini dalam 4 perlawanan terakhir yang diharungi manakala negara Eropah, Latvia pula tumpas dalam dua aksi di kejohanan Baltic Cup sehingga kehilangan mata-mata penting.

Semakan masa-nyata menyaksikan Malaysia menghuni ranking 136 dunia, tidak jauh di belakang Filipina yang cuma dibezakan 14.73 di atas pasukan negara dan membuka peluang buat Harimau Malaya bagi memintas posisi tersebut.

Thailand masih kekal menjadi pasukan no.1 di ASEAN walaupun jatuh satu anak tangga, diikuti Vietnam dan Indonesia yang melonjak ke kedudukan ke 118 dunia sebelum Filipina serta Malaysia tersenarai dalam senarai ranking negara di rantau ini.

Perlawanan seterusnya menanti skuad negara adalah pada penghujung Julai nanti dalam kejohanan ASEAN Hyundai Cup dengan Malaysia bakal turun dalam aksi pertama kumpulan B bertemu Myanmar pada 29 Julai di tempat lawan.