Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Pintas Kedudukan Filipina Selepas 12 Tahun

Malaysia India FA Malaysia 3 Ranking Masa-Nyata FIFA: Malaysia Pintas Kedudukan Filipina Selepas 12 Tahun
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
8:21am 14/10/2023

Hasrat Malaysia untuk memintas kedudukan ranking FIFA Filipina akhirnya tertunai selepas penantian selama hampir 12 tahun.

Pasukan kendalian Kim Pan-gon berjaya mencatatkan kemenangan bermakna berdepan pasukan ke-102 dunia, India dengan keputusan 4-2 untuk meraih tambahan +6.04 mata FIFA.

Harimau Malaya terus mencatatkan unjuran positif selepas memungut tambahan +3.33 mata untuk membawa kepada jumlah keseluruhan menjadi 1094.9 mata pada aksi persahabatan September lalu.

Kemenangan ini membolehkan skuad kebangsaan mengumpul keseluruhan 1100.94 mata untuk memintas kedudukan Filipina.

Selepas berjaya menjadi jaguh Asia Tenggara apabila menjulang Piala AFF pada tahun 2010, Malaysia belum berupaya untuk mempamerkan konsistensi dalam kedudukan ranking FIFA dan ditinggalkan jauh oleh Filipina, Vietnam dan Thailand.

Kali terakhir Malaysia berada pada kedudukan FIFA lebih baik adalah pada tahun 2011 iaitu (148 dunia) dan Filipina di tangga ke-159 dunia.

Malaysia berada di tangga ke-134 dunia dengan memgumpul 1100 mata dan Filipina di tangga ke-135 dunia dengan 1099.29 mata.

Kedudukan ini dipengaruhi oleh kemenangan Latvia ke atas Armenia yang membantu tambahan +16.32 mata FIFA dan juga Nicaragua yang memperoleh kejayaan membenam Montserrat dengan jaringan 3-0.

Malaysia akan turun berdepan Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2023.

Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-3 di Asia Tenggara di belakang Vietnam (95 dunia) dan Thailand 112 dunia).