Kedudukan terkini Lee Zii Jia menjelang World Tour Finals menyaksikan beliau mampu memperbaiki kedudukan 10 pemain terbaik dunia.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 berjaya layak ke saingan World Tour Finals (WTF) 2024 meskipun tersingkir pada pusingan pertama China Masters 2024.
Ini selepas bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen menyingkirkan pencabar terdekatnya, Koki Watanabde dalam satu lagi aksi pusingan pertama kejohanan berkenaan.
Meskipun tersingkir awal, Zii Jia masih berstatus pemain nombor tujuh dunia. Beliau kini mengumpul 77,266 mata. Kedudukan ini dijangka berubah apabila China Masters 2024 berakhir pada 24 November.
Shi Yuqi, Axelsen dan Anders Antonsen terus kekal menghuni kelompok tiga pemain terbaik dunia. Ketiga-tiga pemain itu masing-masing mengumpul 98,115, 91,010 dan 88,821 mata.
Manakala Kodai Naraoka dan Kunlavut Vitidsarn melengkapkan kedudukan lima pemain terbaik dunia. Naraoka dan Kunlavut masing-masing mengumpul 81,847 dan 81,408 mata.
WTF dilihat peluang terbaik buat Zii Jia mendapatkan mata ranking tambahan. Ini kerana seandainya beliau bergelar juara, Zii Jia berpeluang mendapat 14,000 mata.
Juara Thailand Open 2024 itu turut berpeluang meraih 12,000 mata sebagai naib juara atau 10,000 mata sekiranya mara ke separuh akhir.
Pemain yang menamatkan kempen WTF di tempat ketiga dan keempat kumpulan masing-masing mendapat 8,900 dan 7,800 mata.
Bilangan mata tambahan ini berpotensi mengubah kedudukan semasa ranking untuk lapan pemain yang layak beraksi di kejohanan itu termasuk Zii Jia.